Assalamualaikum. Beberapa hari lepas, terdapat komen di Facebook yang menginginkan saya bercerita tentang wanita Saudi.

Mengikut pengalaman dan pengamatan sepanjang hampir 6 tahun saya menetap di Makkah al Mukarramah, terdapat beberapa ciri ataupun kebiasaan, aktiviti wanita-wanita Saudi yang agak menarik di mata saya. Menarik kerana di sebaliknya terdapat cerita-cerita yang berkaitan dengan pengalaman saya sendiri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Ingin sekali saya tekankan bahawa perkongsian ini melibatkan perbezaan budaya yang tidak sama dengan budaya kita.

Oleh itu, lebih selesa kalau saya hanya katakan ianya hanyalah perkongsian dari pengalaman sendiri. Tiada kajian terperinci yang saya lakukan.

Hanya sebahagian daripada cerita-cerita menarik sepanjang saya menetap dan berkawan dengan orang-orang tempatan Saudi ataupun dari negara Arab yang lain yang sama-sama menetap di sini.

Baiklah, berikut adalah budaya, kebiasaan ataupun rutin wanita Saudi yang kita jarang-jarang kita lihat dan tahu.

Kalau dah bercampur dan tinggal dengan mereka barulah kita faham dan mengerti juga turut ‘terjebak’ dengan budaya mereka.

1. Abaya

Saya ada bercerita tentang kisah menarik di antara saya dan abaya di dalam buku saya ‘Embara Kasang Diselimuti Oasis’. Boleh dapatkan buku saya bagi mengetahui cerita tersebut.

Umum mengetahui kalau di Saudi wanita mereka akan memakai abaya di kawasan awam, tak kiralah di mana pun. Mesti pakai abaya.

Di mana jua yang namanya kawasan awam yang bercampur lelaki dan wanita, tengah jogging pakai abaya, piknik pakai abaya.

Satu hari semasa saya dan keluarga berpiknik di pantai, nampak sekumpulan wanita Saudi mandi laut dengan abaya! Suka saya lihat.

Budaya ini juga merupakan undang-undang kepada semua wanita yang berada di dalam negera ini. WAJIB pakai abaya di kawasan awam.

Wanita Saudi sedang jogging di taman berdekatan rumah.
Wanita Saudi sedang jogging di taman berdekatan rumah.
Buku embara kasang diselimuti oasis boleh didapati di popular atau mph atau  di humairabookstore.com
Buku embara kasang diselimuti oasis boleh didapati di popular atau mph atau di humairabookstore.com
Belanja sikit cerita tentang abaya. Nak tahu sambungannya kenalah beli buku.
Belanja sikit cerita tentang abaya. Nak tahu sambungannya kenalah beli buku.

2. Sangat dilindungi oleh kaum lelaki mereka

Pernah saya berbual dengan ibu kepada salah seorang rakan sekolah Rania.

Kebetulan ibunya adalah orang Melayu Singapura yang dah tinggal di Makkah berpuluh tahun selepas berkahwin dengan ayahnya yang merupakan orang tempatan Makkah.

Beberapa tahun selepas itu, ayahnya meninggal dunia semasa beliau dan adik beradik lain 8 orang semuanya masih kecil.

Saya tanya apa pekerjaaan ibu beliau selepas itu bagi menyara anak-anak selepas ketiadaan ayahnya.

Saya sangka pasti ibunya akan pulang ke Singapura, rupanya tidak.

Mereka disara oleh keluarga sebelah ayahnya sehinggalah beliau dan adik beradiknya mampu bekerja dan mampu untuk menyara ibu.

Segala perbelanjaan harian dan persekolahan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga sebelah ayah. MashaALLAH satu contoh tauladan yang sangat baik.

Mereka juga sangat menjaga kabilah ataupun nama keluarga yang dibawa. Oleh sebab wajib menjaga nama baik keluarga dan bagi mengekalkan anak-anak dari darah daging keluarga mereka di situ, maka segala tanggungjawab ke atas mereka adalah urusan bersama dan dijaga dengan baik sehingga kini.

Lazim, mereka akan tinggal berdekatan di antara satu dengan yang lain. Contohnya, satu bangunan pangsapuri beberapa tingkat ditinggal oleh keluarga besar dengan mempunyai rumah masing-masing di dalam satu bangunan. Lebih privacy dan lebih mudah untuk menjaga aurat di kalangan ipar duai.

3. Tidak di panggil dengan nama sendiri

Hal ini tidak ramai yang mengetahui. Wanita-wanita Arab dilindungi oleh kaum lelaki mereka sehingga nama juga tidak sewenang-wenangnya diberitahu kepada sesiapa.

Mereka akan dikenali dengan panggilan ‘ibu kepada’. Contohnya kalau saya akan dipanggil ‘umm Rasyad’, bermakna, ibu kepada Rasyad.

Iya, kita akan dipanggil dengan ibu kepada anak lelaki bukan perempuan. Kalau tidak ada anak lelaki barulah dipanggil ibu kepada anak perempuan.

Diberitahu oleh sahabat Saudi saya, bahawa dengan memberitahu nama wanita kepada sesiapa terutama orang lelaki yang bukan mahram adalah mengaibkan wanita tersebut!

Jadi jangan pelik, kalau mereka sukar untuk memberitahu nama mereka.

4. Berhias

Kadangkala saya gemar berbual dengan jiran di depan pintu rumah (kami buat mesyuarat pintu sebab suami masing-masing belum balik kerja).

Beliau mempunyai 4 orang anak perempuan yang kecil-kecil. Tidak ada pembantu, tetapi dalam rumah sikit punya berhias cantik!

Lagi-lagi, masa hampir suami pulang dari kerja tu. Lipstik kemain merah.. wangi je.

Saya kadang-kadang muka pucat tak sempat make up. Malu pula dengan beliau. Dan rasa berdosa dengan suami. hehe..

Orang Arab suka berhias apabila berada dalam rumah. Lagi-lagi yang dah bersuami.

Siap pakai kasut high heel dalam umah. Tuk, tak, tuk, tak (sound effect mereka berjalan dalam rumah dengan kasut tersebut).

Apabila mereka nak keluar, hanya perlu sarung abaya dan niqab! Mudah. Tapi dalam rumah pakai baju glamor. Paling ringkas blouse dan jeans.

Mereka juga suka warnakan rambut dan menggayakan pelbagai jenis fesyen rambut di dalam rumah.

5. Aktiviti seharian dan pekerjaan

Jangan fikir apabila mereka tidak boleh memandu, tidak boleh keluar tanpa suami atau saudara lelaki, mereka terperuk sahaja di dalam rumah ya. Tidak sama sekali.

Sebenarnya, wanita Saudi memenuhi pelbagai sektor pekerjaan yang memerlukan khidmat mereka seperti guru, doktor, jururawat, pembantu kedai barangan wanita, bank dan lain-lain.

Mereka juga berniaga terutama untuk bidang kecantikan dan kewanitaan seperti mengusahakan saloon dan spa.

Tempat bekerja pula biasanya tidak akan bercampur dengan lelaki seperti bangunan kerajaan, bank dan sekolah. Bangunan untuk wanita berbeza dengan kaum lelaki membuatkan mereka bebas untuk tidak menutup aurat di dalam bangunan tersebut. Menarik, bukan?

Dapat make up, pakai cantik-cantik dan berhias di tempat kerja dan terselamat daripada pandangan mata kaum lelaki lain.

Biasanya hanya suasana pekerjaan di klinik dan hospital sahaja yang memerlukan mereka bercampur di antara lelaki dan wanita, dan di situ suasana lebih tegas dengan uniform doktor dan jururawat yang wajib menepati syariah Islam.

Mereka juga gemar pergi ke pusat-pusat kecantikan dan gym!

Paling istimewa tempat-tempat begini merupakan kawasan larangan keras bagi lelaki ya. Kanak-kanak lelaki yang sudah mumayyiz pun biasanya dilarang. Lebih-lebih lagi gym yang biasanya mempunyai swimming pool di dalamnya!

6. Barty! Barty!

Ya, wanita Arab suka makan-makan dan berhibur. ‘Barty!’, sebutan untuk “party”.

saudi-04

Jangan pelik kalau sekolah perempuan hampir setiap bulan akan ada party terutama lepas habis exam. Seronok anak-anak dapat sama-sama berhias.

Sekolah tahfiz juga tidak terkecuali. Kalau pusat tahfiz Rania biasanya akan ada party yang meminta ibu dan anak turut sama berhias.

Dan barty mereka bukan hanya makan-makan, ada macam-macam aktiviti menarik!

Seperti bacaan puisi, game-game menarik dan juga bacaan surah-surah oleh hafizah-hafizah. Semburan buih, belon mesti tidak ketinggalan.

Pelbagai jenis manisan dan kuih muih tradisional mereka seperti coffee gahwah, barboosa ataupun kunafah serta pelbagai jenis cookies akan dihidangkan.

Yang pastinya saya sudah terbiasa dan suka join barty-barty mereka. Bila lagi nak berhias dan pakai cantik-cantik, kan?

Selain itu, majlis makan-makan di kalangan keluarga juga kerap diadakan.

Walaupun satu keluarga mereka tetap akan berada di kawasan berasingan di antara lelaki dan perempuan. Lebih mudah dan bebas untuk ipar duai, sepupu ataupun sedara mara yang lain.

7. Suka menghias rumah

Saya pernah terbaca satu artikel tentang orang Jepun yang mengekalkan konsep minimalis dalam rumah mereka. Tidak banyak perabot dan memudahkan dalam proses mengemas.

Gambar contoh dari google.
Gambar contoh dari google.

Berbeza dengan orang Arab, kebanyakan yang saya kenal memang sangat gemar menghias rumah. Rumah mereka sama ada dari golongan yang berada atau kurang, pasti terhias cantik dengan perabot dan hiasan yang lengkap.

Tidak hairan mengapa di sini sangat mudah untuk mendapatkan perabot dengan pelbagai pilihan dan harga yang berpatutan.

Khabarnya mereka juga gemar menukar perabot. Oleh itu, terdapat banyak kedai yang menjual perabot terpakai dengan harga yang murah serta kualiti yang agak baik.

Foreigners seperti saya yang tinggal di rumah sewa pasti suka untuk mendapatkan perabot-perabot yang murah dengan kualiti yang baik.

Kadang-kadang terjebak juga untuk menghias rumah secantik rumah orang-orang Arab! Tak dapat semua, ambil feel sikit-sikit pun jadilah.

Kalau nak kahwin dengan wanita Arab kena siapkan rumah yang lengkap terhias cantik ya. Kata orang, isteri tinggal basuh kaki je masuk rumah.

Sebelum majlis, keluarga perempuan akan melihat rumah yang disediakan oleh pihak pengantin lelaki. Semua kena lengkap!

8. Hebat dalam melayan tetamu!

Kalau anda diundang ke rumah orang Arab, bersedialah dengan memakai pakaian dalam abaya yang cantik dan sesuai kerana anda akan diminta untuk membuka abaya dan akan digantungkan abaya tersebut di tempat khas, membuka tudung dan make up sedikit supaya tidak terasa rendah diri apabila melihat tuan rumah yang sangat cantik untuk menyambut kita. Paling penting bawalah perut kosong!

Gambar kami menjadi tetamu di rumah sahabat Arab suatu masa dahulu.
Gambar kami menjadi tetamu di rumah sahabat Arab suatu masa dahulu.

Kerana anda akan diletakkan terpisah secara mutlak dari kaum lelaki, dilayan seperti permaisuri, dan bakal dijamu makanan berulang kali sehingga perut tiada ruang lagi untuk diisi. Haha.

Inilah cara wanita Arab melayan tetamu mereka. Mula-mula dulu saya kurang selesa. Lama-lama dah jadi seronok pula apabila bertandang ke rumah mereka.

Mula-mula anda akan dihidangkan dengan minuman gahwah dan kuih muih ringan. Sambil tu berbual-bual dan melihat seorang demi seorang ahli keluarga wanita mereka keluar untuk bersalam dan seperti melihat fesyen dengan model-model jelita yang keluar untuk berkenalan atau berbual. Agak lama mungkin dalam 1 jam.

Tidak lama kemudian anda akan dipanggil untuk ke ruang makan dan makanan berat dihidangkan. Biasanya Nasi Arab dengan kambing.

Selepas makan akan dihidangkan pula pencuci mulut buah-buahan dan manisan dan minuman teh. Dan apabila dihidangkan teh ianya sinonim dengan waktu pulang.

Tetamu perlu faham apabila tuan rumah offer teh, maknanya anda perlu juga siap-siapkan diri untuk pulang selepas itu. Biasanya akan berakhir lewat malam.

Rasanya setakat itu sahaja.

Kalau ada yang tersalah ataupun sebarang penambahan boleh komen di ruangan komen ya.

Sama-sama kita tambah pengetahuan. Dan seperti yang saya nyatakan di awal tadi, ianya adalah berdasarkan pengalaman peribadi.

Yang baik kita ambil dan yang tidak kita hanya jadikan sebagai pengetahuan.

Yang sama terjebak, Masnira Ramli.