malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
ADS

GALERI FOTO

Puchong atau lebih tepat Putra Perdana sudah menjadi salah satu tempat yang sedang giat dibangunkan sebagai kawasan industri dan penempatan.

Terletak di pinggir daerah Sepang, berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya, kawasan ini bakal menerima puluhan ribu penduduk dalam jangka terdekat.

Purata penduduk di Putra Perdana sekarang sekitar 40,000 orang dan dianggarkan meningkat 50 peratus lagi menjelang 2020.

Bentuk muka bumi yang dikelilingi tasik bekas lombong dan tanah lapang menambah ghairah pemaju-pemaju untuk melabur di kawasan ini.

Siapa sangka, selangkah keluar daripada kesibukan kota, ada insan yang menjadikan bekas lombong sekitar Putra Perdana sebagai mata pencarian untuk menampung hidup sepenuh masa.

Dikenali sebagai “Radin”, beliau satu-satunya individu yang menjadikan kerjaya sebagai “nelayan bandar” sebagai mata pencarian.

Di kalangan anak muda, lelaki cekal itu yang telah enam tahun menjadi nelayan bandar itu, lebih mesra dipanggil “atuk”.

Bapa 51 tahun ini mempunyai lima orang anak hasil perkahwinan dengan isterinya ketika usianya baru 20 tahun.

Berasal daripada Batu Pahat, Johor, Radin sebelum ini seorang ahli perniagaan yang melabur dalam sektor pembinaan.

Namun begitu, kerjaya itu kurang memberi pulangan serta kepuasan peribadi kepada beliau.

Dari gabus kepada sampan

Pada tahun 2009, Radin bertekad untuk menjadikan minat menangkap ikan sebagai punca rezeki.

Hasil keyakinan itu, beliau kini mempunyai tiga bot persendirian yang digunakan untuk turun ke lombong.

Semua itu berbeza sama sekali dengan keadaan di awal penglibatannya apabila hanya menggunakan gabus yang dikutip sekitar lombong untuk dijadikan sampan.

Kreativiti itu sedikit sebanyak membantu memudahkan kerjanya menangkap ikan.

Sementara itu, berkaitan kaedah penangkapan ikan pula, beliau pada mulanya menggunakan teknik merawai.

Selain itu, Radin juga menggunakan kail, namun kaedah itu tidak memberi pulangan yang lumayan.

Justeru, beliau kini menggunakan jaring untuk menangkap ikan. Hanya dengan cara itu, kerjanya lebih mudah dan hasilnya juga lebih.

Lazimnya, tangkapan harian Radin mampu mencecah 50 kilogram dan ke atas. Ikan tilapia spesis yang paling banyak ditangkap dan tinggi permintaan dalam pasaran.

Selain itu, ikan seperti rohu, patin, lampam, keli, haruan, tongsan dan sebarau juga mendapat permintaan tinggi.

Jualan terus tanpa melalui orang tengah membolehkan harga ikan yang dijual lebih murah berbanding harga semasa.

Hasil RM8,000 sebulan

Dengan modal rendah, kutipan bersih beliau mampu mencecah RM8,000 sebulan.

Radin biasanya akan turun ke lombong selepas waktu Isyak dan akan pulang ke rumah sekitar jam 10 pagi keesokan harinya.

Bagi mereka yang sudah mengenalinya, ada di kalangan penggemar ikan air tawar akan menunggu berhampiran lombong untuk membeli hasil tangkapan beliau.

Pada sebelah petang pula, Radin akan menjual hasil tangkapannya di kawasan tumpuan sekitar Puchong.

Bagi pelanggan tetap Radin, mereka tahu di mana untuk mencarinya.

Tetapi untuk berjaya, bukan sahaja melalui kerja keras tetapi juga tanggungjawab.

Justeru, jika beliau tidak dapat meniaga pada hari-hari tertentu, termasuk atas faktor kesihatan, beliau akan berasa bersalah terhadap pelanggannya.

Katanya, dia berniaga bukan sahaja untuk mendapatkan wang, tetapi menganggap perniagaan itu sebagai tanggungjawab sosial bagi membekalkan makanan mentah yang sukar diperoleh.

Sikapnya yang ramah pula membuatkan pelanggan berpuas hati berurus niaga dengannya.

Sementara itu, sebahagian ikan yang ditangkapnya akan dijadikan pekasam atau ikan kering masin.

Namun ia bukanlah produk utama ditawarkannya.

'Kerjaya kasar' peminat P Ramlee

Radin ketika ditemui di pondok miliknya bercerita, ketika lapang, dia suka menghabiskan masa bersama keluarga dan membaiki peralatan menangkap ikan yang rosak akibat tersangkut benda tajam.

Di sini juga, Radin sering menghabiskan masa melayan kerenah kanak-kanak yang suka mandi-manda di lombong berkenaan.

“Setidaknya kanak-kanak itu tidak menghabiskan masa dengan benda yang tidak berfaedah,” katanya.

Beliau berharap generasi pelapis itu dapat merasai pengalaman zaman kanak-kanak yang menyeronokkan, bukan semata-mata kemodenan yang melupakan alam semula jadi.

Ditanya tentang pengalaman pahit, beliau hanya tersenyum sinis.

Baginya, setiap ujian yang datang, seperti perahu karam di tengah lombong, sedikit pun tidak mematahkan semangat yang ada untuk meneruskan kehidupan yang sementara itu.

Dengan izin Tuhan, beliau selamat daripada sebarang kecelakaan. Daripada setiap yang kejadian berlaku, dia hanya mampu mengambil pengajaran.

“Tuhan hantarkan ilmu secara terus melalui alam” ujarnya dalam berkias.

Walaupun mengharungi 'kerjaya kasar', sisi halus tergambar juga dalam diri Radin yang menjadikan lagu-lagu P Ramlee sebagai sumber inspirasi.

Beliau tidak lokek memberi ilmu kepada sesiapa sahaja yang bertanya. Daripada perbualan, beliau juga mempunyai semangat kecintaan yang kuat pada tanah air dan bangsanya.

Dengan senyuman tidak pernah lekang dari bibir tuanya itu, pasti ada sekelumit harapan yang mahu dilaksanakan untuk dijadikan cerita kepada anak bangsanya.

 


QUA CHANG lulusan diploma seni bina yang meminati bidang fotografi dan penulisan. Beliau anak kelahiran Terengganu

 

 

 

 

Lihat Komen