Berita

Parlimen tolak usul kembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara

KUALA LUMPUR, 27 MEI: Usul mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setara dengan Semenanjung dalam persekutuan Malaysia melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan telah ditolak oleh Parlimen, semalam.

Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menolak usul tersebut yang dibawa oleh Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt, pada 28 April lalu, dengan alasan ia tidak selari dengan undang-undang persekutuan.

“Saya amat kecewa dan sedih kerana usul ini telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat sedangkan ia amat mustahak untuk dibahaskan kerana ini melibatkan fakta sejarah dalam Perjanjian Malaysia bahawa Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya dilayan sebagai satu daripada 13 negeri .

“Perlanggaran kepada apa yang telah disetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 bermaksud tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah Persekutuan,” ujar Stephen dalam satu kenyataan.

Antara cadangan pindaan yang diutarakan Stephen ialah merujuk Persekutuan Malaysia sebagai:

(a) Negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu; Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu; (b) Sabah; dan (c) Sarawak.

Selain itu, cadangan pindaan beliau juga mahu kerajaan mengiktiraf Hari Malaysia dengan memasukkannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

Stephen menegaskan DAP akan terus berjuang berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 demi maksud Persekutuan yang sebenar di mana Sabah dan Sarawak dilayan secara adil dan setara.

“Usul pindaan ini dibuat bukan bermakna kita mahu lebih autonomi yang disalaherti oleh sesetengah pihak. Apa yang kita perjuangkan ialah sebuah Persekutuan Malaysia yang lebih baik dan lebih adil untuk semua.

“Walaupun usul ini telah ditolak Speaker, kita akan cadangkan semula dalam sidang Dewan Rakyat pada masa hadapan,” katanya. – Roketkini.com