Taib ajak rakyat merenung perubahan dicapai di S’wak

1

KUCHING: Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya yang pertama selaku Yang di-Pertua Negeri dengan seruan agar Hari Raya ini menjadi masa bagi kita merenung perubahan yang telah dicapai di dalam negeri dari tahun ke tahun.

Menerusi perutusan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 2014’ semalam, Taib mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat negeri ini yang telah memberi sokongan kepadanya ketika menjadi Ketua Menteri selama 33 tahun.

Katanya setiap pilihan raya telah menyaksikan sokongan rakyat yang bertambah dan setiap pilihan raya menunjukkan kekuatan serta perpaduan dalam kalangan rakyat bertambah baik sehingga membolehkan pihak yang mentadbir negeri mendapat kekuatan untuk mengatasi masalah yang dihadapi dalam membangunkan negeri.

“Dalam masa 33 tahun ini, saya sendiri telah menyaksikan bagaimana Sarawak berubah daripada ekonomi yang mempunyai pendapatan perkapita RM4,000 kepada pendapatan perkapita lebih RM40,000 iaitu lebih sepuluh kali ganda dalam pertambahan ekonomi kita.

“Oleh sebab itu, maka kita mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas kejayaan kita meningkatkan taraf hidup rakyat kepada taraf yang lebih makmur lagi.

“Saya tidak puas hati dengan kejayaan demikian dan oleh sebab itu, kita mempunyai satu hakikat untuk menyambung perjuangan kita walaupun saya sudah bersara dan kepimpinan baharu telah muncul,” katanya.

Justeru, Taib berkata beliau percaya Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dapat menyambung segala perjuangan dan susunan kerja dalam pentadbiran negeri untuk membawa Sarawak ke tahap yang lebih maju lagi.

“Saya tahu Adenan adalah seorang yang cukup adil sikapnya, jujur dan suka menolong rakyat… beliau adalah seorang daripada menteri kabinet yang telah mendapat banyak pengalaman kerana telah mengikuti kabinet saya hampir 30 tahun.

“Sebab itu, beliau mempunyai pengalaman dan bentuk pemikiran yang sangat sesuai untuk memimpin Sarawak kepada paras yang lebih maju lagi,” katanya.

Namun demikian, Taib berkata beliau juga sedar bahawa walaupun kemakmuran negeri telah melonjak tinggi tetapi ia tidak dapat mempunyai kesan yang sama di kawasan-kawasan luar bandar.

Katanya, ini disebabkan kawasan luar bandar adalah kawasan yang sangat luas dengan penduduk bertaburan dalam kawasan lebih daripada 125,000 kilometer.

“Oleh sebab itu, maka usaha kita untuk memberi kemudahan asas kepada lebih 5,000 kampung di seluruh negeri ini tidak dapat dijalankan secara serta-merta.

“Boleh dikatakan keba-nyakan atau antara 80 se-hingga 90 peratus daripada kampung-kampung dan rumah panjang kita di luar bandar telah mendapat faedah daripada pembangunan dan infrastruktur kita,” katanya.

Menurut beliau, setiap tahun kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM1 bilion untuk membina jalan luar bandar, bekalan elektrik dan air bersih untuk kawasan di luar bandar.

Bagaimanapun, katanya kerajaan belum lagi dapat memberi semua kemudahan kepada seluruh kampung dan rumah panjang di negeri ini disebabkan ia terlalu banyak dan usaha untuk membina semua infrastruktur berkenaan memakan masa.

“Kalaupun kita ada wang yang cukup banyak untuk menghabiskan semua kerja ini dengan serentak, ia tidak dapat dijalankan kerana ini berkehendak kapasiti pembinaan atau kebolehan jurutera dan pasukan kerja untuk menjalankannya mengikut rupa keupayaan yang tetap ada dan tidak dapat ditambah dengan serta-merta atau ditambah naik dan diturun lagi mengikut keadaan masa kerana pekerja-pekerja kita tidak boleh menerima bentuk pekerjaan yang tidak tentu sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, Taib juga percaya kemakmuran yang telah dicapai negeri akan terus melonjak pada masa akan datang sehingga dapat mencapai tujuan yang diletakkan dalam Wawasan 2020 lebih awal daripada 2020.

Jelas beliau, bagi Sarawak adalah mungkin lebih cepat kerana sekarang telah mempunyai program perindustrian yang akan dapat memberi banyak peluang pekerjaan sekali gus memberi peluang untuk pembinaan beratus kilometer jalan di kawasan pedalaman seperti Baram dan Belaga.

“Ini disebabkan kita mempunyai program yang akan berterusan untuk membuat banyak empangan sungai supaya dapat mengeluarkan elektrik daripada kekuatan air yang mengalir di atas empangan ini,” katanya.

 

 

 

“Orang Baram akan ada peluang untuk berpindah ke satu bandar baharu dalam masa 10 hingga 12 tahun akan datang…mungkin juga dalam bandar yang mempunyai bentuk baik dan cukup cantik seperti apa yang diperkenalkan iaitu ‘bandar di tepi tasik’.

“Demikian juga di Belaga yang akan memberi satu peluang kepada kita membuat satu bandar di tepi tasik Bakun dan kita harap dalam semua usaha kita memindahkan orang ini, orang yang terkena oleh skim pembuatan hidro akan mendapat bentuk kehidupan yang lebih baik.

“Ini bererti, anak-anak mereka akan berpeluang mendapat pelajaran tinggi dan ia tentu sekali membolehkan mereka berkhidmat kepada masyarakat dengan membawa kepada kemajuan,” katanya.

Justeru, Taib berkata menjelang 2030, peluang untuk Sarawak terus mendapat kemajuan dan memberi pekerjaan yang bergaji baik serta lumayan akan berlaku di mana ia telah dijalankan dengan permulaan dalam kawasan SCORE.