Monday 5 July 2010

GAPENA: ISMAIL HUSSEIN TERUSKAN PERJUANGAN PENULIS

40 tahun Ismail Hussein terajui Gapena

Oleh NORILA DAUD
pengarang@utusan.com.my

KEJAYAAN Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein mengekalkan jawatannya tanpa kalah selama 40 tahun secara tidak langsung mencatatkan sejarahnya tersendiri dalam dunia pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apa yang pasti, sepanjang kepimpinan Ismail selama empat dekad itu, banyak usaha dan kejayaan besar untuk memartabatkan kesusasteraan dan bahasa Melayu telah mengisi agenda perjuangan persatuan tersebut.

Persoalannya, walaupun kejayaan besar telah dicapai oleh Gapena selama ini, namun masih terdapat cubaan untuk merampas pucuk pimpinan persatuan itu daripada Ismail, tokoh kesusasteraan Melayu negara yang disegani.

Dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Gapena pada Sabtu lalu, Amiruddin Md. Ali Hanafiah, 45, seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jinjang (SMK), selaku Ketua Persatuan Penulis Johor telah menentang Ismail untuk kali kedua sejak tahun 2008.

Cubaan kali kedua Amiruddin juga berakhir dengan kegagalan apabila beliau hanya mengutip 19 undi, berbanding dengan Ismail yang meraih 55 undi.

Amiruddin yang ditemui setelah keputusan pemilihan itu diumumkan berkata, beliau memberi tentangan kerana mahu melihat kepimpinan Gapena sentiasa bergerak.

Setiap kali ada penentangan ujarnya, terdapat sedikit pergerakan daripada aspek bantuan Gapena kepada ahli-ahlinya.

Katanya, walaupun ramai anggotanya membuat kritikan terhadap sikap pucuk pimpinan yang tidak mahu turun padang, namun apa yang jelas adalah 'cakap tak serupa bikin.'

"Saya mahu lihat pucuk pimpinan Gapena memperjuangkan isu royalti untuk penulis, hak cipta dan seterusnya menjaga kebajikan penulis secara serius," tegasnya.

Sementara itu, Ismail dalam ucapannya sebelum pemilihan itu antara lain berkata, beliau boleh berundur bila-bila masa jika khidmatnya tidak lagi diperlukan.

Ismail juga menegaskan, beliau tidak merayu untuk mempertahankan jawatan tetapi menyerahkan kepada ahli-ahli untuk menimbangkan.

Tokoh kesusasteraan Melayu itu juga menimbulkan isu bahawa Gapena adalah sebuah badan intelektual dan bukan material dan kerana itu, ia mampu meneruskan perjuangan dan pencapaian luar biasa selama 40 tahun.

Barisan kepimpinan Gapena katanya, bukan terdiri daripada calang-calang orang tetapi daripada golongan berkarisma, berwibawa dan sangat terdidik, selain mempunyai hubungan akrab dengan jemaah menteri di Putrajaya.

"Saya menentang generasi muda yang menganggap kejayaan yang dicapai Gapena dalam memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu sejak 40 tahun lalu hanya sebagai nostalgia atau 'omong-omong kosong'.

"Sepatutnya, anak-anak muda cuba mempertahankan kejayaan itu dan dalam masa yang sama memperbaikinya atau melahirkan sesuatu yang lebih baik sebelum melaungkan kejayaan," tegas Ismail.

Beliau seterusnya menarik perhatian hadirin apabila berkata, hari ini yang tinggal hanya semangat kemelayuan dan tamadun Melayu tetapi kebangkitan bahasa Melayu di dunia sejagat tidak pula mendapat perhatian ramai.

Gapena ujarnya, adalah aset yang penting di negara ini kerana kemampuannya mengimbangi pergerakan parti politik serta kuasa korporat dan seterusnya melihat masa depan bangsa dan bahasa Melayu.

Ismail juga memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Sekretariat Melayu Antarabangsa yang dipengerusikan Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dijangka akan mengendalikan laman web Dunia Melayu.com

Katanya, Gapena kini menjadi jantung untuk rumpun Melayu kerana mempunyai jaringan di segenap pelosok dunia antaranya Asia Tenggara, Melayu Raya, Surinam, Taiwan dan Polinesia.

"Kita akan membuat laman web paling komprehensif kerana mempunyai kepakaran, perhubungan dan pengetahuan secara global," ujarnya.

Sehubungan itu, ujarnya, pihak Indonesia ada mempunyai laman web mengenai rumpun Melayu dan mahu menjualnya kepada Gapena dengan harga jutaan ringgit tetapi skopnya amat terhad.

Mengenai peralihan kuasa Ketua Satu Gapena pada 2012, Ismail menjelaskan, pihaknya sedang mencari formula untuk proses peralihan itu kerana ia bukan hanya melibatkan pucuk pimpinan, malah wang dan harta bernilai melebihi RM1 juta.

Mesyuarat Agung Gapena itu juga meluluskan 16 usul dan antaranya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Mengulas isu itu, seorang ahli jawatankuasa Gapena yang membahaskan usul ini memberitahu, rata-rata naib canselor-naib canselor IPTA di negara ini adalah orang Melayu tetapi ironisnya mereka menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Antara usul yang diluluskan tanpa dibahaskan termasuk:

- Mengekalkan sistem peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai landasan perpaduan negara melalui konsep 1Malaysia.

- Mengajak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri serta Ahli Parlimen menggunakan bahasa Melayu dalam setiap kenyataan di media kecuali di peringkat antarabangsa.

- Kementerian Pelajaran mewujudkan Anugerah Pejuang Bahasa 152 (APB 152) yang menyamai Anugerah Sastera Negara (ASN).

- Menambah wang tunai daripada RM60,000 kepada RM100,000 serta sebuah rumah kos sederhana kepada tokoh Anugerah Sasterawan Negara.

- Kerajaan mewujudkan pencen bulanan sekurang-kurangnya RM2,000 kepada tokoh Anugerah Sasterawan Negara. Utusan Malaysia 6 Julai 2010

Komen A.F.Yassin: Kalau dalam politik belum ada yang boleh menandingi pemimpin MIC seperti Dato' Sri Samy Vellu, maka dalam bidang persuratan belum ada yang boleh menandingi pemimpin Tan Sri Ismail Hussein yang menerajui GAPENA. Tahniah buat kedua-duanya. Jika ia meendatangkan manfaat kepada warganya kenapa tidak teruskan kepemimpinan?

Kurang pasti adakah trend pemilihan atau tiada pemilihan serius ini berpunca daripada tidak wujudnya proses peremajaan (regeneration) dalam MIC atau GAPENA. Namun yang jelas ialah kesinambungan pergerakan ini, terutama GAPENA tidak menmbulkan banyak karenah atau kontraversi. Ertinya pengurusan dan petadbiran GAPENA berada dalam keadaan stabil dan semua program berjalan baik, walaupun sesekali GAPENA dilanda krisis kecil yang internal sifatnya.

Ismail ibarat patriach bagi kaum penulis. Tidak ada siapa yang dapat menafikan. Paling-paling inilah persepsi umum terhadap Ismail. Bagi sesiapa yang pernah dekat dengan beliau tidak akan dapat melupakan bahawa Ismail tidak segan-segan menjadi "budak pejabat" menjilat setem dan menjadi posmen ke pejabat pos di Jalan Semangat Petaling Jaya satu ketika, malag khabarnya sekarang pun. Tidak juga boleh kita lupakan Ismail yang berada di mana-mana saja dalam majlis kegiatan persuratan hampir di seluruh dunia. Dan tidak boleh juga kita lupakan pujian dan cacian yang diterima patriach ini dalam kalangan orang persuratan.

Ismail adalah Ismail. Dengan tenang dan berhemah serta suara yang rendah tapi tegas beliau memberikan khidmatnya tanpa batas ruang dan waktu. Dan terfikir juga benarkah tidak ada siapa yang dapat menyainginnya, atau menggantikannya andainya Ismail ditakdirkan "pergi"? Dalam barisan "kabinetnya" ramai yang berkelayakan, malah ada seetengahnya memiliki kelebihan berbanding Ismail dari sudut pendidikan, keilmuan malah pengalaman. Namun ramai pula tidak mampu meramalkan adakah dalam kalangan barisan pesaing ini yang punya karisma seperti yang dimiliki Ismail. Inilah maslahnya dan ini juga mungkin yang menjadikan Ismail lebih terkedepan.

Berdasarkan trend hari ini Ismail masih dan amat diperlukan orang persuratan, walaupun da yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Sikap ahli-ahli kabinet Ismail menunjukkan trend ini. Barangkali tidak ada siapa yang sanggup mencabar Ismail mengambil alih teraju kepemimpinan atau mereka merasa belum layak menyaingi Ismail untuk meletakkan diri masing-masing setaraf kedudukan Ismail sebagai patriach kaum penulis. Dan ironiknya Ismail bukan orang persuratan (baca: orang sastera) tetapi orang bahasa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

MUST-READ BLOGS

REFLECTIONS

SO THEY SAY...

"A.F.Yassin dalam cerpenya "Dendam" berjaya menghidupkan ceritanya dalam bahasa yang berjiwa; sesuai dengan pertentangan-pertentangan yang dialami oleh Salim atau oleh Yanti sendiri. "Plotnya bersifat sorot pergi sebagai satu gaya untuk mengembangkan kisah pada satu detik tetapi menghimbau kisah itu kepada kisah lampau dan juga kisah akan datang. Latarnya di Indonesia. Cerpen ini hidup kerana tidak dibiar berkisar di luar persoalan. Olahan cerpen bepusar keseluruhannya pada watak Yanti..." (Dato' Shahnon Ahmad, Mingguan Malaysia, 14 November 1976.)



" The former editor of a publishing house, A.F.Yassin, recently put out Sembang Sastera: Bersama Orang Persuratan (Fajar Bakti, 1998,310 pages), in which he talks to 64 Malay writers and literary activists of varying stature, who muse on their lives and what they have been up to. Chatty. Frank, nostalgic, irreverent, these conversations are light, in response to A.F.Yassin’s equally casual probing. His target is largely a small and shrinking group of people aged around 60 and above, loyal supporters of the Jawi-scripted Utusan Zaman, in which most of these Sembang-Sembang first appeared.



"Now that these Sembang-Sembang have been romanised, and packed in a handsome hardcover book, more readers , especially literary researchers, local and foreign, can be expected to benefit from them. Of course, the information ranges from the revealing to the trivial, but the book is pertinent as it provides insight on what went on in the world of Malay letters.



"…Sembang Satera is invaluable, especially to students of contemporary Malay literature, because it provides a cauldron of tidbits, with which to spice up the perennially long-overdue assignment.” - (Zakaria Ali, "Notes on Local Literature, fortnightly with Zakaria Ali, New Straits Times, 27 January, 1999."



"Yassin merupakan penulis yang berilmu dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi. Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya." (Asri Affandi, Mingguan Malaysia, 27 Disember 1987.)



"A.F.Yassin dalam bukunya Etika dan Wartawan berpendapat, pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A. Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit suratkabar itu sendiri." (Harakah, 31 Mei 1993.)

Tidak tahu kenapa dia meninggalkan lapangan guru dalam tahun 1962 kemudian sanggup pula menjadi seorang Juruteknik di sebuah kilang tekstil di Johor Bahru. Apakah dia memikirkan kurangnya anak Bumiputra berminat dalam lapangan teknikal atau kerana mula nampak bintangnya lebih mengerdip jika dia meninggalkan lapangan guru?

Yang ternyata sewaktu berada di Textile Corporation of Malaya Berhad Johor Bahru, dia telah dapat mengikuti latihan teknikal di Nagoya, Jepun selama enam bulan dalam tahun 1969. Di Jepun dia baru dapat melihat perbezaan zikap dan tingkah laku manusia pekerja Jepun dengan bangsanya sendiri. Setelah menimba pengalaman di Jepun, tercetus pula keinginannya untuk menulis rencana bersirinya di Utusan Malaysia, Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Semuanya menceritakan pengalamannya di Jepun.

Kemampuan menulis telah meransangnya menapak ke bidang kerja yang lain. Dia menjadi Penyunting Berita Harian dalam tahun 1971. Semasa di New Straits Times Press (M) Bhd., dia banyak pula menghasilkan cerpen. Dia terus melanjutkan penulisan fiksyen apabila dilantik menjadi Penolong Editor dan kemudiannya meningkat sebagai Editor majalah Dewan Masyarakat.

Melihat kemampuannya menulis artikel dan cerpen di tengah-tengah kesibukannya sebagi seorang Editor, jelaslah kepada kita bahawa seorang editor yang sibuk tidak semestinya tidak boleh menulis. Pokoknya dia tidak mengenal erti kelelahan dan kesibukan bila dia diransang untuk menulis. ("Karyawan Bulan Ini", Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Mac 1983).