Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi mohon sumbangan bayar saman RM300,000 NFC
Diterbitkan:  Jul 26, 2017 8:52 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memohon sumbangan orang ramai bagi mengelakkan dirinya daripada diisytihar muflis berikutan kemungkinan tidak mampu membayar ganti rugi dan kos berkaitan dengan saman fitnah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

"Beberapa minggu yang lalu, peguam saya menerima surat tuntutan meminta RM300,000 yang perlu dibayar. Jika tidak, mereka mengancam untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap saya.

“Sebenarnya kes ini sedang melalui rayuan di Mahkamah Rayuan yang telah ditetapkan dalam bulan Oktober 2017.

“Walau bagaimana pun, undang-undang menetapkan saya perlu membayar dahulu kalau pun saya mungkin menang di peringkat rayuan,” katanya dalam satu posting di Facebook semalam.

Saman itu difailkan selepas Rafizi mendakwa pengerusi NFC Datuk Seri Mohd Salleh Ismail membeli lapan hartanah di KL Eco-City dengan dana awam yang diperuntukkan kepada syarikat berkenaan.

Mahkamah Tinggi tahun lalu memutuskan beliau bersalah dan memerintahkan Rafizi membayar RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada NFC. Mereka juga dianugerahkan kos sebanyak RM100,000.

“Saya tidak selesa memohon bantuan orang ramai seperti ini kerana saya tidak dibesarkan untuk bergantung harap kepada orang lain.

“Masalahnya semua simpanan saya telah pun dibelanjakan untuk memulakan INVOKE agar rakyat ada peluang yang lebih tinggi menewaskan BN dalam PRU akan datang.

“Satu hari nanti, saya berdoa kita sama-sama boleh menarik nafas lega bahawa kita telah membuang gejala rasuah dari negara ini,” katanya.

Rafizi, yang juga Ahli Parlimen Pandan, turut didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank yang sulit menyebabkan beliau dituduh pada tahun 2012 di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA).

“Skandal NFC telah lama berlalu dan telah dilupakan. Namun enam tahun kemudian, saya dan peguam saya masih turun naik ke mahkamah setiap bulan untuk berdepan dengan tindakan saman dan tangkapan terhadap saya ekoran pendedahan saya.

“Selain dari arahan membayar RM300,000 ini, saya juga dijangka akan dihukum akhir tahun ini atas tuduhan membocorkan maklumat perbankan NFC,” katanya.

Walau bagaimanapun, Rafizi berkata beliau tidak menyesal menjalankan amanah walaupun menerima risiko menjadi muflis akibat saman-saman dan tangkapan.

“Sejak itu, saya dan rakan-rakan banyak membuat pendedahan lain mengenai rasuah dan penyelewengan. Kami bekerjasama dengan wartawan dan pelbagai pihak. Pendedahan NFC diikuti dengan pendedahan skandal MARA di Australia, masalah kewangan di Tabung Haji, penyelewengan derma di YAPEIM, pelaburan-pelaburan 1MDB yang bermasalah dan banyak lagi.

“Kerja tidak berbayar untuk mendedahkan rasuah ini mendedahkan pula kami kepada pelbagai risiko.

“Risiko terbesar adalah berdepan dengan pelbagai saman dan tindakan undang-undang yang dibawa oleh pelbagai pihak,” katanya.

Sumbangan boleh dibuat kepada Invoke Malaysia atau dimasukkan ke dalam akaun kumpulan itu di 5622 0964 0698 (Maybank).

Lihat Komen
ADS