Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Feminin, Res2, M'Steen, Elite, Freshies bergabung

Masih ingat kelincahan beberapa kumpulan penyanyi terdiri daripada gadis remaja suatu ketika dulu?

Ketika itu selain kumpulan Feminin, ada juga Res2, Msteen dan Freshies memeriahkan dunia hiburan dengan pelbagai lagu mengasyikkan - diiringi gerak tarian lincah setiap kali mereka beraksi di atas pentas.

Jika anda peminat mereka, kini ada berita baik untuk anda.

Lima bekas anggota kumpulan remaja itu - Along (Feminin), Jaja (Msteen), Watie (Res2), Sasha dan Watie (Elite) serta Ejie (Freshies) kini sepakat membuat kemunculan semula.

Mereka kini bergabung untuk menubuhkan kumpulan Belle.

Belle pada asalnya diilhamkan oleh Watie Res2 selepas di ‘termakan pujukan’ peminat yang rindukan mereka untuk kembali beraksi.

Walaupun persaingan sekarang dijangkakan lebih sengit kerana faktor usia dan situasi semasa, Belle berkeyakinan mereka masih mempunyai aura sendiri.

“Kami tak pernah rasa kemunculan semula ini adalah untuk bersaing dengan artis baru.

“Mereka ada cara dan peminat yang tersendiri. Belle pula ada pengikut dari zaman 1990-an yang rata-rata masih mahu kami menyanyi lagi,” kata Watie yang ditemui Malaysiakini baru-baru ini.

Jika dibandingkan konsep dahulu yang lebih lincah, Watie akui kemunculan semula kali ini tidak akan sama seperti dulu.

Namun, jangan pula cepat kecewa.

Istimewanya Belle tanpa aksi lincah seperti dulu, mereka hadir bersama ‘hadiah’ kemantapan vokal masing-masing.

“Apa yang kami mahu ketengahkan adalah vokal yang lebih matang dan keunikan selepas lima anggota digabungkan menjadi satu kumpulan.

“Hal ini kerana kami masing-masing datang dari kumpulan berbeza dengan identiti masing-masing sebelumnya,” katanya.

Mengikut perancangan awal, Belle mahu mengeluarkan single terlebih dahulu.

Untuk permulaan Belle sedang sibuk mencari syarikat rakaman yang sesuai untuk menghasilkan lagu mereka nanti.

Kata Watie, tiada syarat diletakkan dalam memilih syarikat rakaman yang akan bekerjasama dengan mereka asalkan boleh bekerjasama dengan baik,” katanya.

Lihat Komen
ADS