Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
2 lagi universiti nafi beri PhD kepada Azizan Osman
Diterbitkan:  Sep 30, 2016 6:22 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Bila penceramah motivasi terkenal Azizan Osman menerima ijazah kehormat Universiti Malaya (UM) dan siapa yang menyerahkan padanya?

Soalan itu dibangkitkan oleh bekas naib canselor UM Tan Sri Ghauth Jasmon, susulan kontroversi ijazah kehormat doktor keusahawanan yang dikatakan diberi kepada Azizan.

“Saya ingin penjelasan dari Azizan Osman bilakah tarikh beliau naik ke pentas terima ijazah kehormat ini?

“Siapakah tuanku canselor UM yang menyampaikan skrol pada Azizan dalam upacara konvokesyen itu?

“Dengan kedua-dua maklumat ini kita boleh semak dengan mudah,” tulis naib canselor kesepuluh UM itu di Facebook.

Bagi menjawab kekeliruan, UM semalam menegaskan tidak pernah menganugerahkan gelaran ijazah kehormat itu kepada Azizan.

Selain UM, Pusat Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) juga menafikan nama Azizan Osman tersenarai dalam penerima yang dianugerahkan PhD oleh universiti berkenaan.

Portal Berita Harian Online, memetik jurucakap universiti itu berkata, semakan mendapati tiada individu dengan nama sedemikian memiliki PhD dalam jurusan psikologi seperti didakwa.

"Sebaik isu ini diperkatakan, pihak Pusat Siswazah terus membuat semakan dan tiada individu dengan nama Azizan Osman memiliki ijazah PhD dari UKM," katanya.

IUKL pula dalam satu kenyataan media mengesahkan tidak pernah menganugerahkan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan PhD kepada Azizan Osman.

"Pihak IUKL mengesahkan tidak pernah menganugerahkan kedua-dua ijazah itu kepada Azizan Osman.

"Semoga penjelasan ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat berkaitan dakwaan tersebut," kata kenyataan itu hari ini.

Syarikat Azizan, Richworks International Sdn Bhd, dalam kenyataan balasnya beberapa jam selepas itu menuntut penjelasan lanjut dan berkata mengambil serius berkaitan penafian itu.

Ia bagaimanapun tidak mengesah atau menafikan secara langsung kenyataan itu.

Semakan Malaysiakini setakat petang semalam mendapati laman web Richworks memperkenalkan Azizan diperkenal sebagai pemilik “PhD (Hon) Entrepreneurship (UM)”.

Azizan turut terkenal sebagai usahawan dan penulis.

Malah, beliau dikatakan pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai penganjur seminar motivasi terbesar di Malaysia.

Lihat Komen
ADS