Apa logiknya tahan pembantu saya, soal Sivarasa


AHLI Parlimen Subang Sivarasa Rasiah hari ini mempersoalkan di mana logiknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menahan tiga pembantu, termasuk anak saudara lelakinya berhubung hal imigresen.

Joshua Kalaiselvan, Nico Kam dan setiausaha politik Sivarasa, Naveen Kularasa semalam ditahan kerana meminta RM20,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi “penyelesaian kes dengan imigresen”.

Sivarasa berkata tuduhan terhadap pembantu dan anak saudaranya “tidak masuk akal” kerana mereka tiada kuasa ke atas tindakan ketua pengarah Imigresen.

Ahli Parlimen dua penggal itu berkata, beliau mengadakan sidang akhbar pada Ogos dan menulis kepada ketua pengarah Imigresen berkenaan amalan rasuah dalam Jabatan Imigresen melibatkan seorang warga Bangladesh bernama Monomiah Siddikur Rahman.

Monomiah didakwa mendapat permit kerja kategori profesional (professional category work permits) bagi warga Bangladesh menggunakan dokumen palsu. Pekerja-pekerja ini yang dibawa masuk menggunakan permit pekerja professional  ini diambil bekerja sebagai tukang bersih dan “housekeeper” hotel-hotel empat dan lima bintang di Kuala Lumpur.

Maklumat itu diberikan kepada Sivarasa oleh seorang rakyat Malaysia bernama “Mohd Tahir Fazal” yang turut hadir di sidang akhbar pada 9 Ogos. Pada 24 Ogos, Sivarasa telah menulis surat kepada ketua pengarah Imigresen.

“Bagaimanakah pengadu tersebut boleh bersangka bahawa kakitangan saya berupaya menidakkan isu tersebut ( “turn a blind eye…”) sedangkan saya telah pun mengadakan sidang akhbar di Parlimen dan juga telah menulis sepucuk surat rasmi kepada ketua pengarah Jabatan Imigresen mengenainya. Kakitangan saya langsung tidak ada kawalan terhadap ketua pengarah Jabatan Imigresen!” kata Sivarasa dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik sumber, The StarOnline melaporkan ketiga-tiga disiasat kerana meminta RM20,000 bagi menyelesaikan kes dengan Jabatan Imigresen.

Sivarasa berkata: “Kalau pun kakitangan saya telah meminta wang rasuah seperti yang dituduh secara palsu, mengapa rasuah tersebut diberi sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas apa-apa tindakan Jabatan Imigresen berkenaan isu yang saya bangkitkan di bulan Ogos. Tuduhan sogokan begini tidak masuk akal sama sekali. “

The Star juga melaporkan “Ketiga-tiga suspek disiasat untuk menyelesaikan kes dengan Imigresen iaitu pengadu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen tanpa mematuhi prosedur yang betul. Ini dimaklumi ketiga-tiga suspek yang meminta sogokan dari syarikat itu untuk menutup mata akan hal itu”.

Sivarasa berkata pembantunya difitnah dan dijadikan mangsa komplot oleh individu-individu yang terlibat dengan isu yang bangkitkankannya di sidang akhbar tersebut. 

“Saya kini mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa Monomiah dan Tahir bersekongkol dan berkemungkinan sedang bertindak mengikut arahan parti ketiga bagi motif-motif berunsur politik,” katanya.

Ketiga-tiga pembantu Sivarasa itu ditahan reman empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan SPRM. Perintah reman dikeluarkan majistret Maizatul Munirah Abd Rahman tengahari tadi di Balai Polis Dang Wangi.

Hadir sama di balai polis adalah Sivarasa dan peguamnya, Eric Paulsen. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen