Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Harga murah antara sebab utama barangan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menjadi pilihan pengguna.

Bagaimanapun, ia kini tidak dapat lagi dinikmati oleh orang ramai yang dihimpit oleh peningkatan kos sara hidup.

Tinjauan Malaysiakini di beberapa tempat di Lembah Klang mendapati kedai yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ia telah ditutup.

"KR1M akan ditutup buat sementara waktu.

“Segala kesulitan amat dikesali," menurut notis yang ditampal pada kedai itu.

Sementara itu di Kelantan, tinjauan Malaysiakini mendapati kakitangannya sedang sibuk mengemas barang-barang jualan.

Seorang pekerja yang ditemui di Pengkalan Chepa berkata, penutupan tersebut berlaku di semua cawangan di Kelantan dan mereka mula mengemas barang tersebut sejak dua minggu lalu.

"Kita dah hentikan jualan dan kami difahamkan penutupan sementara ini berlaku susulan berlaku pertukaran pengurusan baru. Tetapi tak pasti bila akan dibuka semula.

"Saya dimaklumkan ia juga melibatkan cawangan KR1M di negeri Terengganu dan Pahang bagi kawasan Pantai Timur," katanya.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada langkah itu turut diambil di negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.

Seorang pekerja KR1M yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini bahawa penutupan itu hanyalah sementara, tetapi beliau tidak pasti tempohnya.

"Tutup buat sementara waktu tapi tak tahu sampai bila,” kata pekerja di Petaling Jaya itu yang sedang mengemaskan barang-barang jualan.

Beliau mendakwa pengurusan baru mungkin mengambil alih operasi kedai itu daripada pengendalinya Mydin Mohamed Holdings Sdn Bhd.

Dakwaan ini tidak dapat disahkan buat masa ini dan Malaysiakini sedang cuba menghubungi Mydin, pengurusan KR1M dan kementerian berkaitan bagi mendapatkan maklum balas mereka.

Malaysiakini meninjau ke lima lokasi sekitar Lembah Klang – dua di Kuala Lumpur, dua di Pelaling Jaya dan satu di Shah Alam – hari ini dan mendapati semuanya telah ditutup.

Kedai-kedai itu termasuklah di Pudu, Bandar Tun Razak, Desa Mentari, Kelana Jaya, Shah Alam dan Petaling Jaya Utara.

Tinjauan Malaysiakini di KR1M sekitar Kuala Lumpur turut mendapati kakitangannya sedang sibuk mengemas barang-barang jualan.

Ketika ditanya apakah ia akan dibuka semula, pekerja terbabit memberitahu bahawa mereka tidak pasti kerana keputusan itu belum dibuat oleh "pengurusan baru", kata pekerja KR1M di Wangsa Maju.

Pembaca Malaysiakini turut memaklumkan beberapa lagi KR1M telah ditutup, antaranya di Banting, Selangor; Teluk Intan, Perak; Changlun, Kedah; Ajil, Terengganu; Kota Padawan; Sarawak dan di Tawau, Sabah.

Malah, menurut pengguna Facebook Eben Sorzlesz beberapa tempat di Borneo ditutup lebih awal.

"Di Kuching, Sarawak kawasan Kota Padawan pun sudah setahun tutup," kata Eben.

Akhir Julai lalu, Mydin dilapor berkata mereka rugi besar tetapi mengendalikan KR1M sebagai projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

KR1M dirasmikan enam tahun lalu untuk mengurangkan beban rakyat selain membantu memasarkan produk pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan KR1M.


Pembaca yang ingin berkongsi maklumat di tempat masing-masing, sila hubungi wartawan kami Shakira Buang di talian 03-777-0000-2 (sambungan 202) atau e-mel [email protected].

Lihat Komen
ADS